Impian menetap di Madinah tercapai
"YA Allah Na, jika abang ada peluang mahu rasanya menetap di Mekah ataupun Madinah. Mana-mana pun abang tidak kisah. Kedua-dua tempat barakah. Hati jadi seronok, tenang dan damai. Insya-Allah, abang akan datang kembali untuk menetap di sini selepas Sofea berumur 20 tahun."
Itu bait-bait kata yang pernah terlontar daripada bibir Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim kepada adik perempuannya, Azlina sewaktu mereka sama-sama menunaikan ibadah haji kali pertama pada tahun 2006. Ketika itu, mereka dalam perjalanan pulang dari Masjidil Haram ke hotel.
Pelaksanaan rukun Islam kelima itu ternyata membawa kesan yang amat besar dalam hidupnya.
Ia merupakan impian 16 tahun ke hadapan. Kalimat yang terdetik daripada hati itu mendapat perkenan Yang Maha Esa. Empat tahun kemudian, Muhd. Kamil ditawarkan untuk berhijrah ke Madinah sebagai Profesor Perakaunan di Universiti Taibah.
Tawaran yang diperoleh melalui Dr. Adnan Alamasi selaku dekan universiti tersebut boleh diibarat sebagai hadiah paling bermakna buat Muhd. Kamil. Apatah lagi ia berlaku selepas keazaman untuk berhijrah ke jalan Allah pada usia melepasi 41 tahun.
"Secara zahirnya, pada usia tersebut saya sudah memiliki segala-galanya termasuk kerjaya, isteri dan empat zuriat sebagai pengikat kebahagiaan. Tetapi dalam konteks agama, saya manusia yang jahil.
"Saya tidak tahu membaca al-Quran melainkan hanya beberapa surah ringkas yang dihafal sejak kecil. Saya juga tidak pandai berdoa dalam bahasa Arab. Tidak hafal wirid selepas solat, tidak pandai membaca surah Yasin, tidak pandai bertahlil malah ayat Kursi pun tidak lancar.
"Perkara ini menjadi penyebab saya gagal khatam al-Quran. Amalan pula hanya menyentuh perkara wajib. Perkara-perkara sunat langsung diketepikan. Ia tiada dalam kamus diri," akui Muhd. Kamil, 48, tentang kehidupan lampaunya yang diabadikan dalam buku bertajuk Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman.
Bagaimanapun, kejayaan dalam pendidikan rasmi Muhd. Kamil agak berlawanan. Ketika di sekolah rendah, beliau berjaya menamatkan pelajaran dalam tempoh lima tahun dan muncul sebagai pelajar terbaik.
Begitu juga sewaktu mengikuti program diploma dan sarjana muda dalam bidang perakaunan, beliau bergelar pelajar terbaik dan kedua terbaik. Malah, anak kelahiran Besut, Terengganu itu berjaya menghabiskan pengajian di peringkat sarjana sebulan lebih awal manakala ijazah doktor falsafah (PhD) diperoleh dalam tempoh 32 bulan sekali gus mencatat rekod dalam sejarah Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Tunaikan haji
Ia satu pencapaian yang boleh dibanggakan bagi sesetengah pihak. Namun, hidup terasa kosong.
Segala-galanya bermula ketika Allah membuka pintu hatinya untuk menunaikan fardu haji pada tahun 2005. Ketika itu beliau berjaya dalam kenaikan pangkat ke jawatan Profesor Gred Khas C di UiTM. Ia merupakan rekod pelantikan termuda dalam sejarah UiTM kerana Muhd. Kamil berusia 39 tahun ketika itu. Dalam kejauhan itu terselit kepahitan apabila beliau berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk difitnah ekoran keputusan tersebut.
Selepas menerima surat pelantikan rasmi sebagai seorang profesor beserta tunggakan melebihi puluhan ribu ringgit, Muhd. Kamil berkata pada isterinya, Raudzah Roslan atau lebih mesra dipanggil Roza: "Allah menunaikan permohonan abang. Abang solat hajat hampir setiap malam setahun yang lepas. Abang merayu. Abang minta profesor, Dia bagi jawatan ini, Dia bagi duit lagi. Ya Allah, abang tidak sepatutnya berhenti daripada melakukan perkara yang abang lakukan selama ini. Abang hendak pergi haji. Abang hendak bersyukur kepada-Nya."
Begitulah hidayah Allah, anugerah terindah yang dipancarkan ke dalam hati Muhd. Kamil sekali gus mengundang rasa insaf kepada dirinya.
Benar, perancangan Allah Maha Hebat. Walaupun baru mendaftar untuk menunaikan haji sekitar bulan Julai 2005, namun panggilan untuk menjadi tetamu Allah berjaya diperoleh bagi musim haji tahun 2006. Ia kelihatan ajaib kerana mengikut giliran yang diberikan Tabung Haji, Muhd. Kamil hanya boleh pergi pada tahun 2011.
Itulah yang dinamakan kekuasaan Allah mengatasi segala-galanya hatta perancangan manusia itu sendiri. Rentetan daripada itu, maka bermulalah pengembaraan rohani dan jasmani Muhd. Kamil bersama isteri, kakak (Shalmiah) dan adiknya, Azlina.
Sesuatu yang kelihatan mustahil menjadi kenyataan. Beliau mula belajar al-Quran dengan Hafizi, seorang hafiz muda sebelum berangkat ke Tanah Suci. Dengan bantuan beberapa jemaah yang memperbetulkan bacaannya termasuk Azlina, beliau dapat khatam al-Quran di Masjidil Haram. Baginya, ia cukup istimewa walaupun dilakukan pada usia 42 tahun.
"Ya Allah, akhirnya aku khatam di Masjidil Haram. Di hadapan Kaabah. Di rumah Pencipta Yang Maha Berkuasa lagi Bijaksana. Ia cukup istimewa," catat Muhd. Kamil dalam bukunya itu.
Hijrah Muhd. Kamil
Hasil daripada ibadah yang dilakukan dengan penuh rasa tawaduk, ia membangkitkan keimanan yang mendalam terhadap kebesaran Allah.
Ditanya tentang pengertian hijrah, Muhd. Kamil menjelaskan hijrah baginya adalah melakukan perubahan supaya diri semakin hampir dengan Allah.
"Apabila hijrah kita semata-mata kerana Allah, kesannya kita akan hampir dengan Allah. Kita merasai betapa kehidupan ini terlalu singkat. Maka apa sahaja yang kita lakukan, bersandar kepada keinginan asas tersebut iaitu mahu menjadi manusia yang lebih baik disisi-Nya.
"Sehubungan itu, kita akan terjemahkan dalam kehidupan harian dengan menjadi manusia yang lebih kuat bekerja, tekun, disiplin dan tidak berkira. Malah, sifat-sifat buruk seperti dengki, khianat dan suka membuat fitnah tentu sekali terhakis," ujar Muhd. Kamil melalui temu bual melalui e-mel bersama Kosmo! baru-baru ini.
Apa yang pasti, individu yang paling terkesan dengan penghijrahan Muhd. Kamil ialah isterinya, Roza. Roza tidak pernah jemu berdoa agar pintu hati suaminya terbuka untuk menunaikan haji.
Bagi Roza, dia amat bersyukur apabila melihat saat-saat awal penghijrahan suami terutama ketika menzahirkan niat untuk ke Mekah.
"Itulah hadiah perkahwinan yang paling berharga untuk saya. Enam tahun saya berdoa dan bermunajat mengharapkan suami lembut hati untuk menunaikan haji. Alhamdulillah, ia diperkenankan Allah," jujur luahan Roza mengenai suaminya.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 29 Julai 1989. Ketika itu Roza berusia 22 tahun dan Muhd. Kamil 25 tahun. Mereka berkenalan ketika belajar di UiTM, Terengganu. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Sara Fateha, 22; Ahmad Haris Azrai, 21; Ahmad Amirul Imran, 14 dan Farah Sofea, 9.
Muhd. Kamil dan Roza serta dua anak mereka, Amirul dan Sofea berangkat ke Madinah pada 7 September 2011. Roza yang merupakan mantan pensyarah di UiTM turut bertugas di Universiti Taibah sebagai pensyarah pengurusan. Kini sudah satu tahun dua bulan beliau menetap di Madinah.
Sepanjang berada di Madinah, Muhd. Kamil sebolehnya tidak meninggalkan solat jemaah lima waktu di Masjid Nabawi. Kehidupan di Madinah cukup istimewa kerana setiap minggu beliau mengadakan jamuan berbuka puasa untuk jemaah melalui sumbangan yang dihulurkan oleh pembaca blog Kehidupan Ringkas tapi Signifikan.
Note : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm&fb_action_ids=4988280190484&fb_action_types=og.likes&fb_ref=.UKRENdzDtLM.like&fb_source=aggregation&fb_aggregation_id=288381481237582
No comments:
Post a Comment